KHASIAT
beras perang terletak pada lapisan dedak luarnya dan embrio.
BUKAN hanya warna membezakan beras ini dengan beras biasa.
Walaupun beras yang berwarna coklat pudar ini jarang dimakan dalam diet
masyarakat Malaysia, tetapi hakikatnya khasiat beras perang jauh mengatasi
beras putih yang sudah menjadi menu ruji harian kebanyakan kita.
Adakah kerana warnanya, beras perang diklasifikasikan sebagai
salah satu beras paling sihat? Sebenarnya beras perang dan beras putih berasal
daripada beras yang sama. Cuma proses seterusnya selepas dituai yang membezakan
hasil beras itu sama ada menjadi beras putih atau beras perang.
Menurut jurucakap syarikat beras Serba Wangi, P. Kamalanathan,
beras perang terhasil apabila ia tidak menjalani proses mengilat atau memutihkannya
seperti beras putih.
“Beras yang dituai, dikupas kulitnya dan diselaputi lapisan dedak
yang kaya dengan zat bermanfaat.
“Ketika proses penghasilan beras putih, lapisan dedak ini dibuang
menghasilkan beras berkilat. Bagaimanapun ia menyebabkan kebanyakan zat makanan
yang terkandung di dalamnya juga hilang.
“Sedangkan untuk menghasilkan beras perang, lapisan ini dijaga
dengan teliti. Malah ia melalui sistem teknologi khas untuk mengelakkan
pengeringan padi memusnahkan khasiat penting yang terkandung dalam lapisan
dedak dan embrio padi, katanya.
Siapakah yang sesuai mendapat manfaat daripada beras perang?
Jelas
pakar pemakanan dari Califonia, Dr. Victor Lombart, beras perang baik dimakan
oleh individu yang ingin mengamalkan diet kalori rendah.
Terdapat beberapa khasiat penting beras perang yang menjadikannya
istimewa iaitu kaya dengan nutrien vitamin B1, B2, B6, zat besi, magnesium,
fosfat dan serat. Malah ia juga mengandungi kalsium yang lebih tinggi
berbanding beras putih.
Justeru itu kata Lombart, beras perang sebenarnya wajar diambil
oleh golongan remaja, dewasa mahupun warga emas. Ini kerana khasiat yang
terkandung dalam beras perang menjaga kesihatan otak dan saraf selain mengurang
risiko sakit jantung.
“Satu cawan beras perang menyediakan anda 88 peratus magnesium
harian yang diperlukan tubuh. Mineral ini penting untuk kesihatan sistem saraf,
mengawal paras kolesterol badan selain penghasilan hormon seks.
“Satu kajian oleh Sekolah Perubatan Harvard dan Hospital Wanita
Brigham yang tercatat dalam jurnal American Jurnal of Clinical Nutrition
mendedahkan, wanita yang mengambil beras perang secara puratanya berat badan
yang lebih langsing berbanding wanita mengambil diet beras putih.
“Kajian ke atas 74,000 wanita mendapati 49 peratus wanita yang
mengambil beras perang tidak menghadapi masalah obesiti,” katanya.
Walaupun beras perang sering diabaikan oleh kebanyakan pengguna
kerana dikatakan kurang enak atau baunya yang kurang segar namun, tiada siapa
dapat menafikan manfaat dan kebaikannya.